Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Istana Budaya diberi penghormatan untuk mengiringi persembahan Disney's The Lion King Live in Concert pada 13 Jun 2026 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre. Konsert yang dibawakan oleh Milestone Production dan dilesenkan secara rasmi oleh Disney Concerts merupakan persembahan sulung seumpamanya di Malaysia.
Dalam konsert yang penuh gilang-gemilang ini, OSK Istana Budaya akan menghidupkan semula jiwa dan magis karya agung animasi Disney terbitan tahun 1994 tersebut, seiring dengan tayangan filem The Lion King di layar gergasi Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.
Di bawah pimpinan Konduktor Residen OSK, Encik Eric Lee, bersama 72 orang Ahli Muzik OSK Istana Budaya akan mempersembahkan secara langsung skor muzik epik pemenang Anugerah Oscar® hasil gubahan Hans Zimmer, di samping mengiringi lagu-lagu ikonik ciptaan Elton John dan Tim Rice, sekali gus memberikan pengalaman sinematik yang memukau kepada para penonton.
Penganjuran konsert ini juga bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) serta meraikan ulang tahun ke-30 filem animasi The Lion King. Sehubungan itu, Istana Budaya menjemput seluruh rakyat Malaysia, pencinta muzik, peminat filem klasik Disney serta pelancong tempatan dan antarabangsa untuk hadir menyaksikan persembahan istimewa ini yang menggabungkan kehebatan muzik simfoni secara langsung dengan keajaiban sebuah karya animasi yang telah menjadi ikon sepanjang zaman.