Di sebalik keindahan bumi Sarawak tersimpan sebuah legenda yang penuh misteri dan keajaiban — kisah dua puteri kayangan, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.Turun dari alam kayangan ke dunia manusia, kedua-dua puteri ini terjerat dalam sebuah perjalanan yang menguji erti persaudaraan, kepercayaan dan kasih sayang. Kehadiran cinta, persaingan dan kecemburuan akhirnya mencetuskan persengketaan yang membawa kepada sebuah pengakhiran tragis, sekali gus mengabadikan nama mereka dalam lipatan sejarah dan mitos bumi Sarawak. Melalui gabungan gerak tari kontemporari, berelemen seni tempatan, muzik asal, puisi, dan teknologi visual terkini, legenda ini diolah semula dalam sebuah persembahan tari teaterikal yang menggabungkan keindahan tradisi dengan estetika seni persembahan kontemporari. Lebih daripada sekadar penceritaan semula sebuah mitos, produksi ini merupakan sebuah penghormatan kepada warisan budaya tidak ketara Sarawak, identiti seni dan khazanah tradisi yang perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.