LATAR BELAKANG
PUSPANITA atau nama singkatannya Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia telah dilancarkan dengan rasminya pada 1 Mac 1983 oleh Penaung PUSPANITA yang pertama, Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali. Di peringkat awal penubuhannya, PUSPANITA melalui pelbagai proses bagi melengkapkannya sebagai sebuah persatuan yang berdaftar dan diterima oleh semua pihak terutamanya di peringkat pengurusan atasan dan ahli-ahlinya.
Ahli-ahli Jawatankuasa protem ketika itu telah berusaha keras membentuk perlembagaan yang mengandungi butir-butir mengenai pertubuhan tersebut seperti visi, misi, tujuan penubuhan, keanggotaan serta tanggungjawab Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT). Bagi mengukuhkan kedudukan pertubuhan, Perlembagaan PUSPANITA telah menetapkan bahawa Isteri Perdana Menteri akan menjadi Penaung, Ketua Setiausaha Negara akan menjadi Penasihat dan isteri Ketua Setiausaha Negara adalah Yang Di Pertua kepada persatuan ini.
Di samping pembentukan perlembagaan, PUSPANITA telah berjaya menambahkan keahlian dari tahun ke tahun dan kini mempunyai lebih daripada 80,000 ahli. Satu lagi kejayaan yang amat dibanggakan adalah Rumah PUSPANITA di Jalan Hose, Kuala Lumpur dan PUSPANITAPURI sebagai pusat aktiviti dan mercu tanda kegemilangan. PUSPANITA juga mempunyai pakaian seragamnya yang tersendiri sebagai lambang penyatuan ahli-ahli. Pelbagai program dan aktiviti telah disusun dan dilaksanakan oleh PUSPANITA untuk mencapai visi dan misinya.
Selaras dengan itu, PUSPANITA IB atau nama singkatannya Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia Istana Budaya telah ditubuhkan pada tahun 2010 setelah Istana Budaya dengan rasminya diiktiraf sebagai sebuah Jabatan di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi & Kebudayaan. Persatuan ini terdiri daripada isteri-isteri dan anggota-anggota wanita Perkhidmatan Awam di semua peringkat Jabatan. Kini, selepas pertukaran Kementerian, Puspanita Istana Budaya secara rasminya telah bergabung dengan Puspanita Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada 2013. PUSPANITA IB telah mencapai seramai 80 orang keahlian seumur hidup terdiri daripada kakitangan dan isteri kakitangan Istana Budaya.
KERIS adalah ringkasan nama kepada Kelab Kebajikan Dan Rekreasi Istana Budaya, Kuala Lumpur. Ditubuhkan sejak 12 Januari 2002 untuk mengadakan pelbagai aktiviti seperti sukan, kebajikan, sosial, pendidikan, pertemuan, perbincangan, lawatan dan sebagainya.
Klik sini untuk muat turun Borang Pendaftaran Ahli Kelas Keris.
ISTANA BUDAYA
Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia
Jalan Tun Razak,
50694 Kuala Lumpur