Penceritaan kisah Sengkela Perak ini berdasarkan sejarah Melayu Perak dalam tahun 1690 hingga 1822 yang bermula dengan bebanan (sengkela) yang dihadapi oleh Istana Perak di Pulau Tiga apabila Kerajaan Siam yang telah berjaya menakluk Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Singgora, Kemboja dan Ligor, telah memaksa Kerajaan Kedah dan Kerajaan Ligor (sebagai sumber tenaga ketenteraan) untuk menyerang Perak yang menjadi benteng tegar di utara Tanah Melayu.
Apabila Kerajaan Selangor dan Pahang menolak usaha sama dengan Kerajaan Perak untuk menyerang Ligor bagi melumpuhkan ketenteraan Kerajaan Siam, Tengku Muda Su, anakanda bongsu Sultan Mansur Shah, telah mengadakan perancangan sulit dengan Raja Muda Udin Niran, anak raja Kedah, untuk menyelinap masuk ke dalam Istana Nakhon Si Tammarat, istana Ligor, bagi mengesan kelemahan pentadbiran dan ketenteran Ligor melalui penyamaran diri.
Tanpa disangka-sangka, Istana Ligor turut menghadapi pergolakan dalaman yang tercetus kesan campur tangan Kerajaan Siam apabila Raja Maha Tammaraja I mengahwinkan anakandanya, Puteri Sinanchat Nahnak Thirak, dengan Raja Sujitaraja, raja Ligor, sebagai usaha untuk memantau kesetiaan pemerintah Ligor terhadap Kerajaan Siam.
Tengku Muda Su dan Raja Muda Udin Niran bersama-sama beberapa pengikutnya yang berada dalam istana Ligor tersebut telah turut terheret dalam percaturan jahat Ibusuri Utama Phunying, bonda Puteri Sinanchat, dan sida-sida istana hingga memperlihatkan kemunculan seorang srikandi Kemboja, Puteri Ratree Chumpakasaree (Cempakasari), yang kemudiannya menjadi simbol kekuatan Kerajaan Perak hasil kebijaksanaan dan usahanya menggabungkan tenaga ketenteraan daripada beberapa Kerajaan untuk menawan Istana Ligor dan seterusnya menghalang Kerajaan Siam daripada mara hingga ke selatan Tanah Melayu.
Bagaimanakah Puteri Cempakasari mengatur perancangan licik dengan penuh keberanian bagi menumbangkan Kerajaan Ligor dan menyekat serangan Kerajaan Siam ke atas Kerajaan warisan Gangga Negara (Perak) serta seterusnya bagaimanakah pengakhiran riwayat hidupnya?
Segala-galanya bakal terjawab dalam Sengkela Perak.